Monday 25 March 2013

NOVEL : BOS A.K.A SUAMIKU (BAB 15)


Dear pembaca setia Bos a.k.a Suamiku, ini adalah entry terakhir yang saya paparkan untuk anda semua.  Selepas ini, saya akan menumpukan perhatian saya dalam menyiapkan novel ini.  Ini disebabkan, Bos a.k.a Suamiku sudahpun ditawarkan untuk melalui Proses Penilaian Terbit oleh pihak Karyaseni.  Alhamdulillah...

Selamat membaca dan teruskan sokongan anda.  Love & Peace....

>------------------------------------------------------------------------------------------------------------<


Mulut yang ternganga luas sebentar tadi, aku tutup rapat.  Afiq Khairul yang berdiri di hadapanku ini kurenung tajam.  Bibirnya masih lagi terukir dengan senyuman nakal lagi gatal itu!

“Jadi, maksud abang...” Tidak kusanggup sambung ayat itu sampai habis.  Mukaku mula merona merah.  Pantas aku berpaling dan membelakangkan Afiq Khairul.  Ya Allah, malunya aku!

“Ciuman pertama Leha berlaku di sini… masa Leha berumur 10 tahun lagi.  So, tak perlu nak malu atau mengelak dari abang.  Sebab yang bagi ciuman tu bukan orang lain.  Tapi, abang jugak kan…” Meleret sungguh ayat Afiq Khairul itu.

Aku kipas muka aku dengan tangan.  Terasa panas mula menyelubungi seluruh tubuhku dikala ini.  Terasa rambut aku seperti nak terpacak-pacak di sebalik tudung ini.  Panas lagi hangat! 

“Tapi, ciuman semalam tu lebih thrill berbanding yang dulu.  Rasanya sebab Leha dah besar panjang macam ni kot,” bisik Afiq Khairul betul-betul di telinga aku.

Aku yang terkejut dengan kelakuannya itu menjarakkan diri dengan mulut terlopong.  Thrill?

Keningku bertaut.  “Sejak bila abang jadi miang macam ni?  Sudah!  Leha tahu… jangan diulang lagi!” bentakku lalu berlalu dan melangkah pergi dari situ.  Tidak sanggup nak berhadapan dengan Afiq Khairul lagi. 

“Eh, bukan Leha yang nak tahu sangat ke perkara ni dari semalam? Apasal nak mengelak pulak?” perli Afiq Khairul dengan senyuman sinis.

Aku menoleh dengan muka bengang.  “Sudah! Cukup!” arahku sambil menudingkan jari pada dia.

Terdengar cetusan ketawa dari Afiq Khairul.  Aku gigit bibir.  Menyesal aku tanya! Aku berjalan laju tanpa menghiraukan Afiq Khairul yang masih lagi ketawa di belakang aku.

“Leha…” panggil Afiq Khairul.

Aku buat pekak lagi tuli.

“Leha…” panggil Afiq Khairul sekali lagi.

Aku tetap berlagak pekak dan tuli.

“Sekali lagi abang panggil tak menoleh, abang kerjakan Leha!” ugut Afiq Khairul dengan nada yang keras.

Aku berhenti melangkah.  “Abang ingat Leha takut ke dengan ugutan abang tu?  Maaf ye… Leha tak takut langsung! Sekarang, mula saat ini… jangan dekat dengan Leha! Tak suka!” beritahuku lalu melangkah semula tanpa melihat wajah Afiq Khairul.  Lebih tepat lagi, aku malu nak berdepan dengan dia.  Muka aku pun masih lagi terasa hangat!

*-------------------------*

“Leha dari mana?” soal umi apabila melihat aku mula nak menapak ke tingkat atas.

Aku tersenyum sumbing.  “Leha dari jalan-jalan dengan Abang Afiq kat luar sana tadi,” jawabku lalu membuang pandanganku ke atas saat melihat Afiq Khairul muncul di muka pintu dan memberikan satu pandangan yang penuh misteri. 

“Leha naik dulu,” pamitku cepat lalu melangkah naik ke atas. 

Aku masuk ke dalam bilik.  Tudung aku buka dan berdiri betul-betul di bawah kipas siling itu dengan tangan kanan di pinggang dan kanan kiri mengipas muka yang masih terasa hangat. 

Pintu yang dibuka dari luar itu tidak aku pedulikan.  Aku tetap berdiri di situ sambil merenung siling bilik.  Aku tahu yang akan melangkah masuk itu ialah Afiq Khairul.  Tidak lama kemudian, Afiq Khairul berdiri di hadapan aku dengan raut wajah tanpa segaris senyuman.  Serius.

Aku larikan pandanganku ke tingkap bilik.  Apa aku peduli!

“Leha, pandang abang!” arah Afiq Khairul.

Aku ketap bibir.  Tak habis-habis dengan arahan dan ugutan.  Kalau tak mengarah dan mengeluarkan ugutan dalam satu hari… bukan Afiq Khairul la tu! Bebelku dalam hati.

“Nak apa?” soalku tanpa melihat Afiq Khairul.

Aku dengar dengusan kasar dari Afiq Khairul.  Tapi, aku tetap selamba di situ.  Tak kisah langsung! 

“Pandang abang.” Kali ini suara Afiq Khairul sedikit tegas berbanding sebentar tadi.

Kening aku terangkat.  “Ada apa dengan muka abang tu sampai Leha kena pand…” Aku sudah terkaku di situ.  Spontan aku tolak tubuh Afiq Khairul dan kesat mulut aku.  Sakit dihati usah dikata! 

Afiq Khairul pula hanya tersenyum sinis lantas berlalu ke birai katil lalu duduk dengan santainya di situ.  Aku pegang dada yang terasa semput disebabkan sakit hati yang melampau-lampau! Sabar-sabar-sabar… sabar itu separuh daripada iman! Bisikku lalu menarik nafas dan menghembusnya perlahan.

“Kenapa abang… suka buat sesuka hati?  Leha bukan anak patung.  Berapa kali Leha nak bagitahu? Nak Leha cakap bahasa apa baru faham…” kataku dengan suara yang kutahan-tahan daripada marah dan mencerlung tajam pada Afiq Khairul.

“Degil, tidak dengar cakap, keras kepala, kepala batu… ini balasan sebab tak hiraukan kata-kata abang tadi! Lain kali cubalah buat lagi.  Walaupun kita di depan orang saat ini, ingat abang takut nak buat macam ni ke? Maaf ye, abang tak takut langsung! Halal dah pun…” kata Afiq Khairul dengan muka sempoi lagi selamba itu.

Aku terdiam.  Macam pernah kudengar ayat itu! Huh, nak perli aku la tu! Omelku dalam hati. 

Tanpa membuang masa, aku ambil tudung yang tersadai di sebelah Afiq Khairul.  Tudung aku pasang semula lalu melangkah ke pintu bilik.  Nak keluar! Tak ingin nak dekat dengan Afiq Khairul buat sementara waktu ini, ada saja yang dia buat aku sakit hati sampaikan ke tahap aku nak  meletup-letup macam bertih jagung!

“Nak ke mana?” tanya Afiq Khairul.  Lain sungguh nada suaranya itu pada pendengaran aku.  Macam memerli saja lagaknya!

Aku menoleh. “Berenang,” balasku lalu keluar dan menutup pintu bilik dengan sedikit kuat. 

Sempat aku dengar Afiq Khairul ketawa di situ. Aku mengeluh dan menapak turun ke bawah.  Lebih baik aku menempel dengan umi, ibu dan mak cik-mak cik aku yang lain.  Tiada tekanan perasaan dan tak perlu sakit hati!

*-------------------------*

Habis saja bersarapan dengan yang lain-lain.  Umi memesanku untuk menghantar bubur labu pada Mak Cik Mia, mama Sofea.  Kebetulan bubur labu yang dibuat sebentar tadi terlalu banyak, maka umi pun mengagihkan separuh pada jiran yang terdekat.  Aku tersenyum dalam hati.  Lumrah hidup berjiran-tetangga!

Aku yang bersiap sedia nak keluar dari pintu dapur terhenti apabila Afiq Khairul memanggilku.  Aku menoleh dan melihat Afiq Khairul mendekati aku.  Keningku berkerut…

“Abang nak apa? Leha nak cepat,” tanyaku sambil membetulkan pegangan mangkuk yang sederhana besar ini.

“Tak minta izin pun,” balas Afiq Khairul sambil berpeluk tubuh sambil menyandar di situ.

Aku terkelu.  Lebih tepat lagi, baru aku teringat kembali polisi dan peraturan selepas berumah tangga ini.  Setelah berkahwin, wajib untuk meminta izin pada suami apabila hendak keluar dari rumah.  Ya Allah. aku terlupa!

“Leha jalan dulu,” pamitku lalu berpaling dari Afiq Khairul.

“Abang tak izinkan.” Ayat itu membuatkan aku menoleh semula pada Afiq Khairul. 

“Ya ampun, Leha cuma nak ke rumah Sofea.  Tak jauh pun… dekat aje!” geramku dengan mulut memuncung ke rumah Sofea.

Afiq Khairul tetap tayang muka serius.

“Abang nak Leha minta izin dengan cara yang betul.  Buat dengan lebih sopan dan lemah-lembut sikit.  Ini tidak, tadi tu macam tak sudi aje pandang muka abang ni,  Buat lagi sekali!” arah Afiq Khairul.

Aku ternganga.  Sungguh mengarut permintaan Afiq Khairul ini! Aku lemparkan pandanganku ke ruang dapur yang kini kosong dan sunyi.  Nasib baik.  Boleh juga aku tayang muka masam lagi masin.  Tak perlu lagi berpura-pura!

“Mengarut.” kataku lalu menyarungkan selipar.  Tak ambil pusing dengan permintaan Afiq Khairul itu.  Mengada-ngada!

“Nak jadi isteri yang ingkar ke?” Afiq Khairul tayang senyuman sinisnya itu pada aku.

Aku terkaku di situ dengan mengetap bibir.  Lalu aku mendengus kuat dan menoleh semula pada Afiq Khairul.  Baru sehari aku jadi isteri Afiq Khairul, tapi dah bermacam perangai dan tingkahlaku dia yang terpaksa aku hadapi dan telan bulat-bulat.  Aku pamerkan senyuman.  Senyuman paksa lagi terdesak…

“Leha jalan dulu… assalamualaikum!” pintaku bermuka-muka.  Lembut nada suaraku berbanding tadi sambil kepala aku telengkan ke kanan.  Gaya comel konon!

Tapi…

“Lagi sekali!” arah Afiq Khairul.  Tetap dengan mukanya yang serius nak mampus itu!

Aku tahan sakit hati didada.  Kesabaran aku yang hanya senipis kulit bawang ini membuatkan aku mengucap dalam hati.  Ya Allah, kurniakanlah hamba-Mu ini dengan kekuatan dan kesabaran dalam melayani suami Hamba-Mu yang ‘tersayang’ ini.  Amin… mohonku dalam hati.

Aku capai dan pegang tangan Afiq Khairul.  Lalu menciumnya dengan penuh hormat.  Kepala aku dongakkan dan tersenyum manis.

“Abang, Leha pergi rumah Sofea dulu ye… Tak lama, kejapppp je.  Take care.  Assalamualaikum.  Pergi dulu ye…Nyahh!” ulangku dengan suara gedik dan pelik pada pendengaran aku.  Terlebih sudah!

Lama tangan aku di dalam genggaman Afiq Khairul sebelum dilepaskan.  Kepalaku diusapnya berkali-kali sebelum mengarah aku pergi dengan senyuman yang sukar dimengertikan.  Aku menarik nafas lega.  Tak faham langsung dengan perangai Afiq Khairul yang semakin pelik ini!

Tapi, satu perkara yang dapat aku fikirkan.  Rasa-rasanya Afiq Khairul seperti membuli aku saja!

*-------------------------*

Setelah berada di kampung halaman selama 2 minggu lebih, kini aku bersiap-siap untuk pulang ke Kuala Lumpur.  Sebal dan hiba saat tanganku menyalam tangan abah, umi, atok, Amin dan yang lain-lain.  Nasihat dan doa dari mereka aku sematkan dalam ingatan.

Selama 1 minggu aku duduk di rumah Pak Cik Sufian yang kini aku panggil ayah.  Selepas itu, Afiq Khairul membawaku ke apartment baru.  Apartment yang kini menjadi tempatku berteduh dan menjalani kehidupan seterusnya sebagai seorang isteri kepada Afiq Khairul. 

Aku perhatikan ruang tamu yang sudah dilengkapi perabot serta perhiasan yang simple tapi cantik pada pandangan mataku ini. 

“Selesanya…” puji Adila yang sudah berbaring di sofa tiga serangkai itu.

Aku tersenyum.  Walaupun hari ini hari pertama aku menjejakkan kaki ke dalam apartment ini.  Hatiku sudah terpikat dengan hiasan di dalam apartment ini. 

“Alhamdulillah, nasib baik hari tu Afiq beli apartment ni lebih awal dahulu.  Ramai yang suka dengan apartment kat sini.  Dekat dengan pasar raya dan yang lebih penting dikawal dan dijaga dengan rapi.  Tak risau dibuatnya…” tambah ayah sambil duduk di sofa bewarna putih susu itu.

Aku hanya tersenyum sebelum melangkah ke dapur.  Ibu yang seperti dapat membaca fikiran aku turut melangkah ke dapur.  Dapur yang sederhana besar ini sudah lengkap dengan barangan seperti cawan, pinggan, periuk serta peti sejuk yang sudah berisi dengan barang-barang keperluan.  Tak kira yang kering mahupun yang basah.  Aku angkat wajah dan pandang Afiq Khairul yang duduk di sebelah ayah.  Tak kusangka yang Afiq Khairul sudah pun membuat persediaan yang lengkap serta teratur ini. 

Menjelang petang, barulah ayah, ibu dan Adila berangkat pulang.  Jarak dari rumah dan apartment ini hanya mengambil masa selama 20 minit sahaja.  Nasib baik jaraknya tak jauh.  Kot-kot kalau aku merajuk ke, apa ke… boleh jugak aku pulang ke sana.  Aku tersenyum nakal lagi jahat dalam hati.

Aku yang baru nak masuk ke bilik utama berhenti dan merenung bilik kosong bersebelahan dengan bilik utama ini. 

“Kenapa?” tanya Afiq Khairul apabila aku hanya berdiri di situ sambil memegang dagu.

Aku mendongak dan tersenyum di situ.

“Ada bilik kosong.  Leha tidur dalam bilik sebelah ni, boleh?” tanyaku dengan sinaran mata yang penuh mengharap.

“Abang kata kita buat haluan masing-masingkan lepas kahwin ni… jadi, Leha nak tidur dalam bilik ni,” ungkitku semula sambil tersenyum.

Sungguh aku berharap dapat tidur berasingan dengan Afiq Khairul.  Walaupun perasaan kekok sudah tiada, tapi aku tak selesa apabila terpaksa berhati-hati dalam menyalin pakaian.  Tak bebas langsung!  Sekurang-kurangnya, kalau ada bilik sendiri, boleh juga aku berguling-guling di atas katil dan berbuat apa saja dengan sesuka hati.  Bebas!

Aku pulas tombol bilik itu dengan hati yang riang…

“Kejap.” Halang Afiq Khairul sambil memegang bahu aku.

“Tak boleh! Abang tak setuju!” bangkang Afiq Khairul keras.

Aku mula mencebik.  “Kenapa pulak? Tak ada orang lain dalam apartment ni.  Leha dan abang aje... kita tak perlu lagi berlakon happy dan berlagak bahagia.  Jangan risau, Leha tetap jalankan tanggungjawab Leha.  Mengemas, menyuci dan memasak.  Tapi, Leha nak tidur dalam bilik ni.  Leha tak nak kongsi bilik dengan abang lagi.  Tak bebas…” terangku dengan muka serius.

Dapat aku lihat wajah Afiq Khairul yang sudah berubah riak itu.  Aku telan air liur…

“Tidak! Abang tak benarkan! Takkan sesekali abang benarkan Leha tidur berasingan dengan abang!” bangkang Afiq Khairul.  Keras sungguh nada suara dia.

Aku menggeleng-gelengkan kepala.  “Abang jangan nak mungkir janji.  Bukan abang kata kita…”

Chup! Pipiku terasa hangat…

“Degil.  Nak abang buat sekali lagi ke?” ugut Afiq Khairul lalu berura-ura untuk mendekati aku. 
Aku tolak tubuh Afiq Khairul lalu masuk ke dalam bilik utama.

“Abang buat Leha sakit, tau tak?!” jeritku lalu berbaring di atas katil dan membenamkan wajahku pada tilam.  Airmata yang merembes keluar aku biarkan mengalir.  Tanpa segan silu aku menangis di situ dengan semahu-mahunya.

“Sakit?” gumam Afiq Khairul.

“Sakit hati, sakit jiwa, sakit perasaan! Takkan sakit perut kan…! Abang nak pendapat… abang aje yang kena dengar dan ikut... pendapat Leha ni abang pandang ‘enteng’… pandang sebelah mata saja! Mentang-mentanglah abang lebih tua dari Leha…” senduku lagi.    

Aku terasa seseorang mengusap kepala aku.  Aku tepis tangan itu.  Tak suka dan tak sudi sama sekali!

“Leha…” Afiq Khairul cuba mengatakan sesuatu.

“Sudah! Leha tak nak dengar! Alih-alih, Leha… kena mengalah jugak kan… Cukup! Leha tak nak tengok muka abang sekarang ni.” pintasku dengan sendu yang masih kedengaran.

Aku menangis di situ hingga tertidur.  Menjelang maghrib, barulah aku tersedar.  Itupun aku mengelak dari melihat wajah Afiq Khairul.  Sakit hati masih terasa!


*Terima kasih*

P/S : Tolong share to everyone(^^,)...